Home » » 7 Tingkatan Maqam Nafsu Manusia

7 Tingkatan Maqam Nafsu Manusia

7 Tingkatan Maqam Nafsu Manusia




بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Setelah kita membahaskan berkenaan syarat mengetahui tahap keimanan dalam proses mengenal diri. Pada kali ini kita akan cuba menghuraikan tingkatan-tingkatan nafsu yang menjadi syarat kedua untuk mengenal diri.
Allah menjadikan haiwan mempunyai nafsu tanpa akal. Allah menjadikan para malaikat mempunyai akal tanpa nafsu. Dan Allah jadikan manusia memiliki akal dan nafsu. Maka jadilah manusia itu sebaik-baik ciptaan Allah SWT.
Nafsu merupakan salah satu dari 4 penghalang utama kepada seseorang muslim untuk beribadah kepada Allah. Hakikatnya nafsu ini perlu ada dalam diri kita. Tidak boleh tidak. Kena ada dalam diri manusia.
Tetapi nafsu tersebut hendaklah dididik. Kerana nafsu ini sebenarnya milik haiwan. Haiwan yang memiliki nafsu. Haiwan yang liar, jika dijinakkan dan dididik, akan memberi manfaat kepada manusia. Lembu kalau dijinakkan mampu membantu manusia melakukan kerja di ladang.
Begitu juga kuda. Kuda liar jika dididik dan dijinakkan, mampu dijadikan haiwan tunggangan. Nafsu juga begitu. Nafsu jika tidak dididik dan dijinakkan maka akan mendatangkan kerosakan kepada diri manusia. Kerosakan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.
Maka wajiblah seseorang itu mendidik nafsu mereka agar terdididik. Dan dalam usaha mendidik nafsu, sewajarnyalah kita mengetahui akan tingkatan-tingkatan nafsu.
Dalam kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, ada disebutkan 7 tingkatan nafsu, yaitu :
 1. Ammarah
2Lawwamah
3. Mulhamah
4Mutmainnah
5. Radiah
6. Mardhiah
7. Kamilah

   1. NAFSU AMMARAH (JAHAT)
Nafsu ammarah ialah nafsu tingkatan yang paling jahat. Ia tidak lain mengajak manusia yang dikuasainya ke jalan kejahatan, melakukan maksiat dan seronok melakukannya.
Nafsu ammarah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran, Firman Allah yang bermaksud,
“ Sesungguhnya nafsu (ammarah) itu sangat menyuruh berbuat jahat. “ (Surah Yusuf: 53)
Sifat-Sifat Orang yang Bernafsu Ammarah:
  1. Selalu terdedah kepada godaan nafsu dan syaitan. Nafsu ammarah sentiasa menyuruh seseorang berbuat kejahatan sama ada ia faham perbuatan itu jahat atau tidak.
  2. Tidak merasa duka atau sesal di atas perbuatan jahatnya, malah perasaannya lega dan gembira. Contohnya bila tertinggal solat, hatinya tidak runsing dan kesal sedikit pun, bahkan kadang kadang merasa gembira dan senang.
  3. Terlalu gembira bila mendapat nikmat dan berputus asa bila ditimpa bala dan kesusahan.
“ Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah akibat kesalahan tangan mereka sendiri, lantas mereka berputus asa. “ (Ar-Rum: 36)
  1. Sifat sifat yang timbul dari benih nafsu ammarah ini ialah bakhil, tamak dan haloba akan harta dunia serta terlalu cintakan keduniaan, panjang angan angan, sombong, takabbur, sukakan kemegahan, ingin namanya terkenal dan mahsyur, hasad dengki, dendam kesumat, khianat dan niat jahat, lalai terhadap Allah dan sebagainya.
Barang siapa mendapati di hatinya ada salah satu sifat tersebut, itu tandanya dia termasuk dalam golongan ammarah. Orang berilmu atau tidak berilmu boleh terjebak dalam golongan ini. Nafsu ammarah ini adalah serendah rendah darjat dan sejahat jahat nafsu dalam dunia Tasawwuf. Tempat yang wajar untuk golongan ini ialah kawah neraka yang penuh azab yang maha pedih.

          2.  NAFSU LAWWAMAH (MENCELA DIRI)
Di dalam Al-Quran, Allah berfirman yg bermaksud:
“ Aku bersumpah dengan nafsu lawwamah (mencela dan pengkritik diri). ”(Al-Qiamah: 2)
Nafsu lawwamah ialah nafsu yang selalu mengkritik atau mencela diri sendiri apabila berlaku sesuatu kejahatan dosa atas dirinya.
Contohnya, apabial tertinggal solat, hatinya menyesal dan segera memohon ampun kepada Allah dan mengqadhakannya. Bila terlajak berbuat dosa, ia segera menyesal. Walaubagaimana pun, untuk berbuat kebajikan dan taat, ia masih terasa berat dan dilakukan dalam keadaan terpaksa dan tidak terasa nikmat.
Nafsu lawwamah lebih tinggi sedikit daripada nafsu ammarah kerana orang ini melakukan sesuatu dengan ilmu dan kenal kejahatan dengan ilmu. Namun, hatinya masih lemah dan nahsunya masih rakus dan banyak mazmumah. Cuma dia mudah tersedar bila ditegur. Walaupun hatinya boleh dan mudah terdorong kearah ibadah dan kebaikan tetapi nafsunya masih belum dapat ditundukkan sepenuhnya.
Sabda Rasulullah SAW:
“ Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan menjadikan untuknya penasihat dari hatinya (sendiri). “ (Riwayat Abu Mansur Ad-Dailami)
Sifat-Sifat Orang yang Bernafsu Lawwamah:
  1. Mencela kesalahan diri sendiri.
  2. Selalu berfikir (bertafakur) mengenang dosa dan keburukan.
  3. Rasa takut bila rasa bersalah.
  4. Mengkritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan.
  5. Mudah merasa riya’ ya’ni hendak menunjuk-nunjuk kepada orang apabila membuat kebaikan.
  6. Mudah merasa sum’ah, iaitu ingin mmperdengarkan atau memberitahu kepada orang sesuatu kebajikan yang dibuatnya supaya mendapat pujian orang.
  7. Mudah juga merasa ujub, iaitu perasaan yang melonjak lonjak dalam hati, merasakan diri lebih lebih baik daripada orang lain, walaupun pada zahirnya ia menunjukkan sifat tawadhu’ atau tidak mahu terkenal atau pemurah.
  8. Lain lain sifat mazmumah dlm hati masih tidak mampu dilawan dan sedang menguasai hatinya.
Martabat nafsu lawwamah terletak pada kebanyakan orang awam. Syurga untuk orang martabat ini tidak terjamin, kecuali setelah mndapat keamapunan Tuhan dan rahmat-Nya.
Jalan selamat utuk orang yang bersifat nafsu lawwamah ialah perlu sentiasa bergaul dengan orang baik dan sentiasa berada dalam lingkungan (suasana) baik. Ia hendaklah menjauhi kawan kawan dan suasana jahat, kerana hatinya mudah tergoda dan terikut terikut kejahatan.
Selain itu, orang yang bersifat atau yang berada pada makam nafsu ini hendaklah: Belajar dan berusaha untuk melatih diri bermujahadah bagi melawan hawa nafsu dengan cara menanamkan benci kepada maksiat dan menanamkn rasa cinta kepada kebajikan.
  1.  Dibantu pula dengan zikrullah supaya hati lebih lembut.
  2.  Setelah itu dibantu lagi dengan berdoa memohon pertolongan Allah untuk memudahkn melawan nafsunya itu.
  3.  Hendaklah juga dipimpin guru mursyid.

            3. NAFSU MULHAMAH (ILHAM)
Setelah seseorang melalui mujahadah yang sungguh-sungguh untuk meleburkan nafsu ammarah dan lawwamah maka nafsunya akan meningkat kepada nafsu mulhamah. Nafsu peringkat ini sudah menerima proses kesucian hati atau mujahadatunnafs. Tiada lintasan lintasan kotor atau was was syaitan lagi, sebaliknya malaikat atau Allah mengilhamkan kebaikan pada hatinya.
Firman Allah,
“ Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu diilhamkan Allah kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucikan hatinya dan rugilah (celakalah) orang yang mengotorinya. ” (As-Syam: 8-10)
Sifat-Sifat Orang yang Bernafsu Mulhamah:
a) Tidak sayangkan harta, tidak sayangkan dunia.
b) Merasa cukup dengan kurniaan Allah (qanaah).
c) Mendapat ilmu laduni dan ilham.
d) Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (tawadhu’).
e) Taubat yang benar-benar (hakiki).
f) Tahan menanggung kesusahan dan lain-lain sifat terpuji.
Mereka dalam martabat ini mulai masuk ke sempadan makam wali dan mulai mencapai fana yang mnghasilkan makrifat dan hakikat (syuhud).
Walau pun bagaimana pun sifat-sifat baik sama ada zahir atau batinnya belum benar berakar umbi dgn teguh dalam diri dan hatinya. Oleh itu ia kena menjaganya dgn mengawal diri dan hatinya serta perlu meningkatkan mujahadah dan meningkatkan amalan solehnya. Kerana ujian ke atasnya sentiasa ada. Sekiranya ia tidak berjaga-jaga nanti Allah akan mencabut kembali makam itu menjadi lawwamah.

4. NAFSU MUTMAINNAH (TENANG)
Hasil latihan yg berterusan, nafsu mulhamah akan meningkat kepada nafsu mutmainnah. Hati sudah sampai ke peringkat suci dan tenang. Nafsu mutmainnah adalah martabat nafsu pertama yang telah mula mendapat keredhaan Allah dan ia telah layak memasuki syurga.
Firman Allah,
“ Wahai orang yang bernafsu mutmainnah, pulanglah ke pangkuan tuhan-Mu dalam keadaan redha-meredhai dan masuklah ke dalam golongan hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku. “(Al-Fajr: 27-30)
Sifat-Sifat Orang yang Bernafsu Mutmainnah:
  1.  Murah hati dan tidak lekat wang di tangan kerana bersedekah.
  2.  Tawakkal yang benar.
  3. Arif dan bijaksana.
  4.  Kuat beribadah.
  5. Syukur yg benar.
  6.  Redha pada segala hukuman Allah.
  7. Takwa yg benar dan lain-lain sifat terpuji.

     5. NAFSU RADHIAH (REDHO)
Hasil kegigihan melatih diri untuk memakrifatkan diri kepada Allah, orang yang bernafsu mutmainnah akan meningkat kepada nafsu radhiah. Orang ini memiliki keseluruhan sifat mahmudah dan kuat hubungan hatinya dengan Allah.Orang ini memdapat pimpinan ilmu laduni dan mempunyai pandangan mata hati yang tajam atau dikenali sebagai Kasyaf.
Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
“ Takutilah akan firasat orang mukmin, bahawasanya orang-orang mukmin itu melihat dengan nur Allah (petunjuk Allah SWT). “ (Riwayat At-Tirmizi)
Tabiat orang peringkat ini luar biasa, ia tidak takut pada bala Allah dan tidak tahu gembira pada nikmat Allah, yang ia tahu hanya keredhaan Allah dan hukuman-Nya.
Firman Allah, 
“ Ssungguhnya Wali-Wali Allah itu tak pernah rasa takut dan bimbang. “ (Surah Yunus: 62)
Nafsu mereka sudah terkikis dari akar umbinya sekali dan mereka disinari oleh nur syuhud kepada makrifat, bertalu-talu masuk ke dalam hati nurani yang tetap waja itu.
Alam di sekeliling mereka laksana cermin. Apabila melihat alam ia ‘nampak’ (teringat atau terasa) akan Allah. Hal itu berlaku setiap ketika. Makam ini juga disebut sebagai makam musyahadah seperti mana Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis tentang sifat ‘Al-Ihsan’.
Sabda Rasulullah SAW:
“ … Maksud ihsan ialah apabila engkau menyembah Allah hendaklah terasa seolah olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak dapat melihat-Nya ketahuilah bahawa Allah melihat kamu. “(Riwayat Muslim)
Sifat sifat mahmudah yang timbul dari nafsu radhiah ialah zuhud, ikhlas, wara’, mninggalkan perkara-perkara yang bukan urusannya, memelihara hukum-hakam Allah dan lain-lain sifat kerohanian yang tinggi.
Makam nafsu ini hanya dapat dicapai oleh para wali Allah. Mereka dapat merasa nikmat melakukan kebajikan dan berbudi luhur. Zikir wiridnya hebat, bukan sekadar di lidah tetapi hatinya penuh khusyu’ dan tawadhu’ mengingati Allah.
Firman Allah SWT:
“ Berzikirlah pada Tuhanmu dalam hatinya dalam keadaan merendah diri dan takut. “(Al-A’raf:205)
          6.  NAFSU MARDHIAH
Mereka yang telah sampai ke peringkat nafsu mardhiah kelihatan lebih tenang dan tenteram. Hati dan jiwanya telah benar-benar sebati dengan Allah SWT.
Sabda Rasulullah Saw.
“ Apabila kamu sekalian melihat seseorag mukmin itu pendiam dan tenang, maka dekatilah ia. Sesungguhnya dia akan mengajar kamu ‘hikmat’. “ (Riwayat Ibnu Majah)
Segala gerak-geri orang di peringkat nafsu ini diredhai Allah. Sabda Rasulullah SAW dlm hadis Qudsi:
“ Sentiasalah hamba-Ku berdampingan kepada-Ku dengan mengerjakan ibadat sunat hingga aku kasihkan dia maka apabila Aku kasihkan dia nescaya adalah Aku pendengarannya yang ia mendengar dengannya, penglihatan yang ia melihat dengannya, pertuturan lidahnya yang ia bertutur dengannya, penampar tangannya yang ia menampar dengannya, berjalan kakinya yang ia berjalan dengnnya dan berfikir hatinya yang ia berfikir dengannya. “ (Riwayat Imam Bukhari)
Orang yang dapat mncapai martabat nafsu mardiah digelar wali Allah dlm martabat yang istimewa.
Sifat-Sifat Orang yang Bernafsu Mardhiah:
  1. Elok dan tingginya budi atau kesusilaan orang ini umpama Nabi-Nabi.
  2.  Lemah-lembut dalam pergaulan masyarakat sebgaimana perangai Nabi-Nabi.
  3. Sentiasa ghairah untuk berdamping dan beribadah kepada Allah.
  4.  Sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah.
  5.  Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah dan lain-lain sifat terpuji.

           7.  NAFSU KAMILAH (SEMPURNA)
Orang yang berada di peringkat nafsu kamilah ini, berada di peringkat nafsu tertinggi. Setiap perlakuannya benar-benar mengikut garis keredhaan Allah dan tidak pernah terdorong oleh hasutan nafsu dan syaitan kepada kejahatan.
Cintanya tertumpu pada Allah, ingatannya pada Allah tidak pernah putus. Allah SWT membayangkannya dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
 Sesungguhnya telah lama orang yang baik-baik itu rindu untuk bertemu dengan Aku, dan (sebaliknya) Aku lebih rindu untuk bertemu dengan mereka. ” (Riwayat Abu Darda’)
Hanya Para Rasul, Para Nabi dan Wali Allah sahaja yang boleh sampai ke taraf nafsu kamilah. Orang soleh, pejuang kebenaran boleh menuju ke tingkat nafsu yang tinggi itu dengan proses mujahadah yg bresungguh sungguh.
Apabila kita telah mengenal di mana tahap nafsu kita, maka dapatlah kita berusaha meningkatkannya ke peringkat yg lebih tinggi dan mendorongnya kepada kebaikan. Bahkan tuntutan meningkatkn nafsu ke makam yang tinggi adalah diperintahkan.
Kerana orang yang berada di peringkat nafsu terendah yang bertaraf binatang, bererti ia sentiasa berada dalam suasana maksiat dan berdosa serta menderhakai Allah. Maka wajiblah meninggalkan segala maksiat dan kembali menjadi hamba Allah yang taat.

0 ulasan: