Penjelasan Tentang Khadam Ayat
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Khadam bermaksud pelayan atau penjaga. Dari segi istilah, khadam ayat Al-Quran bermaksud khadam dari makhluk rohani(malaikat) yang menjaga disetiap huruf ayat-ayat Al-Quran.
Kalaulah ayat Al-Quran mempunyai khadam sudah tentu terdiri dari malaikat bukannya makhluk jin. Malaikat adalah adalah tentera-tentera Allah yang berkhidmat semata-mata untuk Allah yang hanya menerima arahan dari Allah.
Tetapi tidak ada keterangan dari Al-Quran mahupun hadis nabawi yang mengatakan ayat Al-Quran mempunyai khadam. Dan tidak ada keterangan dari Al-Quran mahupun Hadis Nabawi yang mengatakan ayat Al-Quran tidak mempunyai khadam. Hanya Allah Maha mencipta lagi maha mengetahui.
Jadi siapakah sebenarnya makhluk misteri yang dikatakan khadam ayat itu, kalau bukan makhluk jin. Adakah malaikat akan datang apabila ia diseru?. Malaikat tidak akan datang melainkan jin yang akan datang mengaku sebagai khadam ayat tersebut.
Dapatkah orang memanggil mempastikan yang datang itu, benar-benar khadam ayat atau bukan?. Manusia tidak mengetahui hakikat jin atau makhluk rohani sama ada islam atau pun kafir, beriman atau pun fasik dan jujur atau berpura.
Beramal dengan ayat-ayat Allah kerana untuk mendapatkan khadam bukan untuk mencari redha Allah. Apabila terpesong sedikit saja niat, maka datanglah syaitan yang akan menjadi teman yang belagak seperti wali Allah tetapi mengiring manusia kearah kebinasaan secara halus.
Firman Allah;
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.(Al-Zukhruf ;36)
Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Al-Zukhruf:37)
Sebenarnya jin akan datang apabila namanya diseru, tak perlu dengan riadah ayat Al-quran. Mengapa perlu membaca ayat-ayat Al-Quran yang tertentu?.
Kalau kita lihat sipengamal membaca riadah ayat Al-Quran adalah kerana khadam, bukan beramal kerana Allah. Disini ia telah mempersekutukan Allah dalam beribadat kepadanya. Helah syaitan memang halus dan licik, memperdaya manusia yang lemah kefahaman dalam ugama.
FirmanAllah;
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar". (Al-Baiyinah;5)
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. (Al-Kahfi;110)
Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya). (Al-Araf;29)
Kesimpulannya ilmu khadam itu bukanlah budaya agama, tetapi budaya mistik. Itu semua adalah kelebihan dunia lagi menyesatkan, bukan dunia tujuan kita. Sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.
0 ulasan:
Catat Ulasan