Hijab (tabir) Dan Nafsu Syahwat
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Sesungguhnya Allah Swt dan kebenaran itu telah jelas, tetapi dosa. kejahilan, nafsu dan syaitanlah yang menjadi hijabnya. Dari itu manusia perlu berusaha membuka hijab-hijab yang menjadi penghalang, untuk melihat kebenaran dan mengenal Allah Swt. Semuanya itu memerlukan usaha dan pengorbanan yang bukan sikit.
Para salik menuju kepada Allah ada bermacam keadaan diantaranya:
1. Manusia Yang dipilih oleh Allah, seperti:
- Para Nabi dan RasulNya.
- Dan bukan daripada nabi (majzub), seperti Uwais Al Qarni (tabi'in). Walau pun Uwais hidup di zaman Rasulullah, tetapi ianya tidak pernah bertemu dan bersahabat dengan Baginda. Uwais tidak mempunyai guru dan tidak mendalami ilmu Agama.
- Rabiatul Adawiyah sufi wanita, yang mencapai maqam "cinta" kepada Allah. Rabiah secara tidak langsung telah di tarbiah dan didik oleh Allah
sejak dari kecil.
2. Manusia yang berilmu dan bersungguh-sungguh berjihad melawan hawa nafsu. Mereka telah membuang dunia dan mengasingkan diri (uzlah) . Seperti Sheikh Abdul Qadir Jailani. Setelah selesai Sheikh Abdul Qadir Jailani menamatkan pengajiannya, maka ia pergi beruzlah, iaitu pergi beribadah, dan melatih diri menundukkan hawa nafsu, jauh dari manusia selama 11 tahun.
Imam Ghazali telah beruzlah 10 tahun, setelah meninggalkan anak, isteri, jawatan yang tinggi dan segala kemegahan dunia, pergi beribadah, dan melatih diri menundukkan hawa nafsu.
3. Manusia yang punyai dan mendapat bimbingan dari guru Tasauf dan Tarekat, tetapi tidak tidak melakukan proses uzlah yang besar dan panjang.
4. Cara biasa, Iaitu menuntut ilmu Ugama dan berusaha mendekatkan diri dengan Allah, dengan ibadah, zikrullah dan mujahadah.
Untuk mencapainya matlamat membuang hijab dan membersihkan hati, memerlukan usaha, latihan yang keras dan pengorbanan yang tinggi. Ilmu dan amal diperlukan disamping zikir dan mujahadah melawam hawa nafsu.
Lambat atau cepatnya proses penyucian itu bergantung atas kesungguhan dan teknik yang betul. Dan berlakunya semua itu adalah dengan izin dah Rahmat dari Allah jua.
“Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya)”. . (Al-Insan)
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. …” (Al Hadiid : 22-23).
Ketahuilah nafsu itu makhluk liar, buas dan degil. Ubatnya dengan latihan mendidik dan membiasakan dengan perkara yang baik, yang memakan masa yang panjang, lagi disokong dengan zikrullah.
Sebagai contoh, anak yang dibesarkan dengan kemewahan dan kesenangan, hidup tidak pernah susah dan menderita. Apabila ianya dewasa menjadi seorang manusia yang manja, lemah, tidak sabar, sombong, pemarah dan degil, kerana kemahuannya sejak dari kecil dituruti.
Tetapi kita lihat anak-anak orang miskin, hidup dalam serba kekurangan, susah-menderita sering berlapar, dan segala keinginan tidak terpenuhi. Apabila ianya dewasa akan menjadi seorang yg sabar, rajin berdikari, rendah hati dan kuat hatinya
Nafsu Syahwat
Keinginan nafsu syahwat dapat dikendurkan dengan kurangkan makan, iaitu berlapar. Semakin lemah tubuh, maka semakin lemah hawa nafsu. Berlapar itu pelita hati dan banyak faedahnya seperti, menjernihkan hati dan akal, menutup pintu syaitan, khusyuk dalam zikrullah, melemahkan nafsu.
Makan itu menurut Ulama, makan itu hanya sekadar untuk kita dapat bergerak menjalankan ibadah.
Kalau kita lihat bagaimana dengan kehidupan Rasulullah. Beliau adalah seorang yang miskin, di sepanjang hidupnya sering mengalami kelaparan.
Kadang-kadang seharian tidak makan. Ada kalanya dengan sekeping roti atau beberapa tamar sehari.
Lakukanlah makan ketika benar-benar lapar dan berhenti sebelum kenyang, seperti yang telah digariskan oleh Rasulullah. Kalau dapat mengamalkan hanya memakan kurma dan air putih itu adalah baik, seperti yg diamalkan oleh Uwais Qarni.
Buah tamar adalah sebaik-baik makanan di dalamnya terkandung banyak khasiat dan nutrisi. Jadi dengan makan buah tamar tidak memerlukan makanan yang lain. Tidak bisa kita mengamalkan hanya nasi dan air putih, dikuatiri menjejaskan kesihatan, kerana kurangnya nutrisi didalam nasi.
Daging, telor, rempah dan madu lebah, jika dimakan dapat mengobarkan lagi nafsu syahwat apa lagi jika berlebihan, seharusnya dihindari.
Diantara peralatan yang perlu seperti:
1. Ikhlas. Manusia yang ikhlas dalam beramal, akan diberkati dan dibantu oleh Allah. Bagi mereka yang syirik, Allah meninggalkannya, dan syaitanlah pula akan memimpinnya
2. Ilmu adalah penyuluh kepada kita semasa berjalan, agar tidak tersesat dan agar dapat membezakan yang mana benar dan yang salah, yang mana jurang yang mana dataran.
3. Doktor Rohani, iaitu Guru Mursyid. Iaitu hamba Allah yang ikhlas, bertakwa, zuhud, mahir dengan ilmu Rohani dan sentiasa berpandukan Al Quran dan sunnah.
Walaupun ianya tidak mudah tetapi lakukan dengan bersungguh-sungguh serta istiqamah (berterusan) Insyaallah... tiada yang mustahil.
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya". (Al-'Ankabuut 29:69)
Ingatlah. Apa yang kita miliki samada, kekuatan, kekayaan, keilmuan, rajin beribadah atau ketakwaan, semuanya itu adalah kurnia dan Rahmat dari Allah, bukanlah dari usaha dan keupayaan kita.
والله أعلمُ بالـصـواب
0 ulasan:
Catat Ulasan