Home » » Wirid Asas Dalam Tarekat Tasawuf

Wirid Asas Dalam Tarekat Tasawuf


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Zikir dan mujahadah adalah komponen penting untuk membersihkan hati, dalam rangka menuju dan menghampirkan diri kepada Allah SWT. Hati itu laksana cermin yang perlu digilap dan dicuci supaya ianya terang dan bersinar. Hanya cermin hati terang dan bersinar yang dapat menerima Nur Ilahi. Apabila hati disirami Oleh Nur Ilahi, maka hilanglah sifat mazmumah dan suburlah sifat mahmudah dan mudah dapat menangkap hakikat dan rahsia-rahsia keTuhanan. Orang yang hatinya bersinar dengan Nur Ilahi, akan selalu tenang, serta mendapat bimbingan dan petunjuk Allah dalam menghadapi berbagai masalah kehidupan.

Hati hanya menjadi satu menjadi wadah, sama ada Cahaya Allah atau Iblis. Jika hati yang kotor menjadi istana Iblis dan hati yang bersih dipenuhi oleh Cahaya Allah

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasululah, apakah amal yang lebih afdhal?” Rasulullah SAW menjawab : ”Mengenal Allah Azza Wa Jalla…”. Mereka bertanya lagi : “Apakah segala amal yang lebih pahalanya…?” Rasulullah SAW menjawab : ”Mengenal Allah Azza Wa Jalla…”. Sahabat tersebut bertanya lagi : ”Ya Rasulullah, kami bertanya tentang amal, mengapa Tuan menjawab dengan ilmu…?”

Rasululah SAW bersabda : ”Bahawa sedikit amal dengan mengenal Allah adalah lebih baik daripada banyak amal tetapi tidak mengenal Allah, Kerana amal yang seperti itu tidak bermanfaat”.

Apa yang dikatakan makrifat itu ialah kenal, mengenal akan Allah dengan sebenar kenal. Kenal Allah dalam definisi tasawuf bukanlah secara ilmiah yang meleret-leret. Tetapi kenal Allah itu dengan rasa, dengan mata hati iaitu dengan merasai dzauk, fana dan syuhud. Inilah maqam Musyahadah atau ihsan, sulit diungkapkan dengan kata-kata, kerana ini adalah pekerjaan hati. Hanya orang yang mengalaminya sahaja yang tahu akan rasanya.

Adalah menjadi fardu ain mempelajari ilmu tasawuf secara asas dan fardu kifayah mempelajari secara terperinci. Tidak ada gunanya mahir dalam membahaskan ilmu tasawuf secara terperinci tetapi hati tiada disertai Nur Ilahi, belumlah dikatakan makrifat yang hakiki, tetapi makrifat ilmu, ini dipanggil ahli falsafah atau cendiakawan bukannya ulama pewaris Nabi.  

Dengan mengetahui ilmu tasawuf secara ringkas, tetapi tekun dan beristiqamah dalam pegamalan zikir dan mujahadah, akan berpeluang meraih cahaya Allah. Walaupun sedikit ilmu tasawuf tetapi hati dilimpahi Nur Ilahi, ini yang lebih afdal, kerana ia telah benar-benar makrifat kepada Allah SWT dan mewarisi Nubuwah.

Terdapat 4 zikir asas dalam kebanyakan tarekat muktabar. Meninggalkan salah satu daripada zikir tersebut, menjadikan sang salik pincang dan lambat dalam pengembaraan rohaninya.

1.     Zikir darajat - (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله)
2.     Zikir Ismu al-dzat - (الله)
3.     Istighfar
4.     Selawat Nabi
 
Zikir darajat - (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله)

Kalimah tauhid yang paling agung lagi mulia (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله). Inilah tujuan Allah menurunkan para Rasul dan Nabi, untuk membawa risalah yang besar iaitu kalimatul hak (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله). Tidak mustahillah jika orang yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mengamalkan kalimah toiyyibah ini akan memperolehi jiwa yang tauhid. Bagi orang yang selalu menyebutnya semasa hidup di dunia, akan mudah menyebutnya semasa sakratul maut hendak menjemput. Akan mendapat syafaat dari Rasullullah saw semasa di akhirat kelak. Dan orang yang ikhlas menyebutnya pasti beroleh syurga.

 “Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahwa tidak ada Ilah (yang haq) melainkan Aku, maka sembahlah Aku oleh mu sekalian.” (QS Al-Anbiya: 25)

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): ‘Hendaklah kamu menyembah Allah, dan jauhilah thaghut itu.’ Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kalian di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” (QS An-Nahl: 36)

Nabi SAW bersabda “ Seafdal-afdal kalimah yang aku sebut dan nabi-nabi sebelum aku sebut adalah kalimah La ila ha illallah “.

Daripada Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Demi yang diriku ditangannya (kekuasaannya), jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada di bawahnya diletakkan disebelah dacing dan kalimah La Ilaha Illallah disebelah yang lain, maka dacing kalimah (La Ilaha Illallah) itulah yang lebih berat”. (Riwayat Al-Imam At-Thabrani)

Merupakan anak kunci Syurga. Muaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Anak-anak kunci syurga ialah mengakui kalimah ‘Lailahaillallah (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dari Jabir bin Abdillah ia berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Zikir yang paling mulia ialah Lailahaillallah dan doa yang paling baik ialah Alhamdulillah.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Rasulullah bersabda : ‘Perbaharuilah iman kalian.’ Mereka bertanya : ‘Wahai Rasulullah, bagaimana cara memperbaharui iman kami?’ Baginda menjawab : ‘Banyakbanyaklah mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illallah.’ (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ath-Thabrani dengan sanad hasan)

Saidina Ali ra telah bertanyakan Rasulullah – "Apakah cara paling mulia, mudah dan cepat dalam mendekatkan diri kepada Allah swt. Nabi saw menyebut kalimat‘La Ilaha Illallah’ kerana tiang arasy dan segala ciptaan Alllah terdiri atas kalimah ini".

Di dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas”.

Tatacara zikir لاَ إِلَهَ إِلَّاالله.

1.      Bersih, menutup aurat dan berwuduk
2.      Mengadap kiblat
3.      Hati difokus hanya kepada Allah
4.      Dimulai dengan bismilah, istighfar 3x, selawat 3x
5.      Dimulai dengan (اَفْضَلْ ذِكْريِ فَعْلَمْ اَنَّهُ - لاَ إِلَهَ إِلَّاالله) afdhaluz zikri fa'lam annahu - lailahaillallah, lailahaillallah, lailahaillallah dan terus sebanyak yang mungkin, sekurang- kurangnya 100 kali sehari
6.      Diakhiri Muhammadar rasulullah salallahu alaihi wasallam.
 
Zikir Ismu al-dzat - (الله)

Zikir Ismu al-dzat dinamakan juga zikir qalbi, yang mana hati menyebut nama Allah, Allah, Allah secara berterusan. Selain perintah Allah, tujuan zikir ini supaya melatih hati agar sentiasa ingat dan merasakan kehadiran bersama Allah. Untuk dapat menetapkan zikir “Allah” ini di dalam hati, memerlukah kesungguhan dan latihan yang lama. 

Hati yang sentiasa ingatkan Allah di setiap saat, menandakan hati yang bersih dan mencintai Allah.

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”. (Al-Jumu'ah 62:10)

“Allah Swt berfirman, Aku ini (bertindak) sesuai dengan prasangka hamba-Ku padaku. Aku selalu bersamanya jika ia mengingat-Ku. Apabila ia mengingat-Ku di dalam hatinya, maka Aku pun menyebutnya sendiri. Jika dia mengingat-Ku di tengah-tengah orang banyak, maka aku akan menyebutnya di tengah-tengah orang banyak yang lebih mulia dari pada orang banyak saat ia mengingat-Ku”. (HR. al Bukhari dan ahli hadits lainnya).

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai”. (Al-A'raaf 7:205)

“Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku” (QS AL Baqarah 2:152)

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan shalat(mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring”…… (An Nisa’ 103)

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun".( Al Israk 44)

"Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku".  (Al Baqarah 152 )

"Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram". (Ar Ra’d 28)
 
Istighfar

أَسْتَغْفِرُ الله الَّذِي لآ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الحَيُّ القَيُّوْمُ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ

ASTAGHFIRULLAHAL ADZIM  ALLADZII LAA ILAAHA ILLAHUWAL HAYYUL QOYYUM WA ATUUBU ILAHI…...Aku mohon ampun kepada Allah yang maha besar, yang tidak ada Tuhan selain Dia yang hidup dan berdiri sendiri dan aku mohon ampun padaNya
 
Manusia tidak akan lepas dari melakukan dosa, sama ada sengaja atau tidak sengaja. Dari itu, manusia tidak dapat tidak, mesti sentiasa mengharapkan keampunan daripada Allah SWT.

“Jika seseorang melakukan sebuah dosa, dititiklah satu titik hitam pada hatinya. Jika dia bertaubat, berhenti (melakukan dosa), lalu beristighfar, hatinya akan kembali bersih. Jika dia mengulangi dosanya, ditambahkanlah titik hitam sampai menutupi hatinya, dan jika hatinya sudah tertutup, itulah ar-rain ‘penutup hati’ yang Allah ‘Azza wa Jalla sebutkan dalam Al-Qur`an, ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya sesuatu yang selalu mereka usahakan itu menjadi ar-rain terhadap hati-hati mereka.’ [Al-Muthaffifin: 14].”

Rasulullah bersabda,”Setiap anak Adam pernah bersalah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah yang segera bertaubat.”(HR.Tirmidzi, Ibnu Majah, al-Hakim).
 
Allah SWT itu maha pengampun. “Dan orang-orang yang, apabila berbuat keji atau menganiaya diri sendiri, mengingat Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Siapa lagi yang dapat mengampuni dosa, kecuali Allah? Mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”[Ali ‘Imran: 135]

Istighfar yang kita lantunkan dengan penuh penghayatan dan perasaan bersalah juga akan mampu menahan datangnya azab dan bala bencana. Hal ini ditegaskan oleh Alloh Ta’ala dalam surat Al-Anfal, yang artinya: “Dan Alloh sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. dan tidaklah (pula) Alloh akan mengazab mereka, sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (QS. Al-Anfal: 33).

Terkait dengan kedahsyatan istighfar, Rasulullah SAW juga bersabda : Dari Ibnu ‘Abbas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang beristiqamah dalam beristighfar, Allah akan memberi jalan keluar dari setiap kesempitan, menghindarkan dari setiap kecemasan dan memberi rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka. (HR Abu Daud)

Walaupun Rasullullah saw seorang yang maksum dri dosa , tetapi beliau sediri pun beristighfar 100 kali sehari. “Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristigfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR. Muslim)

Di antara jalan untuk mendapat rahmat Allah SWT dengan jalan banyakkan beristighfar“Hendaklah kalian memohon ampunan kepada Allah agar kalian dirahmati.” [An-Naml: 46]

Selawat Nabi

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ،

Selain daripada mentaati perintah Rasulullah saw, kita dianjurkan supaya berselawat keatas beliau, sebagai tanda keimanan dan cinta kita kepadanya.

"Allah SWT memerintahkan manusia berselawat keatas nabi. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzaab 33:56)

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling hampir kepadaku pada hari Kiamat kelak ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku”. (HR Tirmizi)

Orang yang membaca Shalawat Nabi diangkat derajatnya. Pada suatu pagi Rasulullah tampak bahagia seperti terlihat dari kecerahan wajahnya. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, pagi ini Engkau tampak bahagia seperti terlihat dari kecerahan wajahmu.” Beliau bersabda, “Memang benar. Semalam aku ditemui oleh seorang utusan Tuhanku Yang Maha Agung. Dia berkata, ‘Barang siapa di antara umatmu yang bershalawat kepadamu sekali, maka Allah menuliskan baginya sepuluh kebaikan, menghapuskan dari dirinya sepuluh keburukan, meninggikannya sebanyak sepuluh derajat, dan mengembalikan kepadanya sepuluh derajat pula’.” (HR Ahmad).

Dalam satu riwayat dinyatakan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berselawat keatasku sekali Allah akan berselawat keatasnya sepuluh kali dan akan dituliskan baginya sepuluh kebaikan”. (HR Tirmizi)

Mendapat syafaat Nabi. ”Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat”- HR Thabrani
 
 Zikir asas ini boleh dilakukan sebanyak yang mungkin. Dan setelah melakukan zikir yang asas, jika ada masa atau keinginan, bolehlah ditambah dengan ayat mathurat (zikir dan doa warisan Nabi), atau membaca Al Quran.

والله أعلمُ بالـصـواب

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah